Friday 21 August 2015

Bank Islam Lebih Mahal Berbanding Bank Konvesional?



Seringkali perbankan Islam didakwa mengaut keuntungan yang berlebihan. Dakwaan bahawa sistem pengiraan yang diamalkan oleh perbankan Islam dilihat mengaut keuntungan berlebihan, adalah sebenarnya tidak tepat. Ini adalah kerana prinsip asal di dalam mengambil keuntungan adalah bersandarkan persetujuan kedua-dua pihak, tidak bertentangan dengan syarak, dan ia diterima oleh pasaran. Malah di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi SAW memberi ‘Urwah  satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi SAW membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi SAW terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung”. (Riwayat Al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya dengan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh Nabi SAW malah dipuji dan didoakannya.

Walaupun hal ini dibenarkan, tetapi dari segi praktisnya, kadar keuntungan yang digunapakai oleh perbankan Islam adalah kompetitif dengan kadar faedah yang digunapakai oleh perbankan konvensional. Jika sebaliknya, sudah pasti perniagaan perbankan Islam tidak dapat berkembang ke fasa yang lebih tinggi berbanding perbankan konvensional. Kerjasama di antara pelanggan dan institusi perbankan Islam amat diperlukan bagi memastikan sistem Allah SWT ini lebih mendapat perhatian ramai.

Sesetengah pihak yang membuat tuduhan melulu bahawa perbankan Islam itu mahal dan mengaut keuntungan berlebihan harus memikirkan terlebih dahulu tindakannya dan harus memahami fakta-fakta berikut:

 i) Konsep perbankan Islam adalah pembiayaan dan bukannya pinjaman. Dalam Islam, sekiranya mana-mana institusi kewangan Islam ingin memberi pinjaman kepada pihak yang lain, haruslah menggunakan Qard  Hasan, iaitu pinjaman yang dibalas kembali tanpa sebarang faedah dan tambahan. Sebaliknya, hari ini hampir kesemua institusi perbankan Islam memilih untuk melaksanakan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya menggunakan akad selain pinjaman seperti AITAB ( Al-Ijarah Thumma Al-Bai'), BBA (Bai' Bithaman Ajil), Musyarakah mutanaqisah dan sebagainya. Jadi, tidaklah salah sekiranya bank islam mengenakan kadar yang lebih tinggi daripada harga asal sesuatu barang setelah berkira-kira kadar faedah secara tetap semenjak awal pembiayaan.

ii) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan supaya organisasi maju ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf syarak. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan khidmat secara percuma.

iii) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma.

iv) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu dibayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan bagi mengurus bank secara efektif dan kompetitif.

v) Bank-bank Islam juga perlu membayar kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru itu, apabila khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.


Jadi, apabila ada pihak mengatakan perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia membantu orang ramai terutamanya orang Islam, kita perlu menyedari kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga supaya mampu terus-menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Malah, apabila bank-bank Islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf yang layak menurut Islam. Selain itu, bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan yang akan diberikan menurut keadaan.

Di samping itu, apabila pihak bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun perbankan Islam sebagai contoh Akaun Simpanan, Semasa dan Pelaburan berasaskan Mudharabah. Individu yang menyimpan akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di dalam Akaun Simpanan Wadi’ah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah’ yang menarik mengikut budi bicara Bank.

Semoga entri ini mengubah salah faham bahawa perbankan Islam bukanlah institusi yang hanya berhasrat untuk mengaut keuntungan semata-mata, malah tujuan utamanya adalah untuk mempromosikan sistem Allah SWT yang halal lagi baik dan membantu segenap lapisan masyarakat. Keuntungan yang disasarkan adalah bertujuan seperti yang dinyatakan di atas, dan bukanlah untuk menganiyai dan berlaku zalim terhadap pelanggan-pelanggan perbankan Islam seperti yang diutarakan oleh orang kebanyakan yang tidak memahami sistem ini.
Wallahua’lam.

Sunday 15 March 2015

PERBEZAAN BANK ISLAM DAN BANK KONVENSIONAL

Banking
BANK KONVENSIONAL 
VS
 BANK ISLAM

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam yang memberikan kita nikmat yang tidak terhingga banyaknya, yang menghidupkan dan mematikan makhlukNya, yang menurunkan hujan dengan kehendakNya, yang menjadikan bumi Malaysia subur dengan rezekiNya. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, pesuruh Allah dan hambaNya, menyinari alam dengan risalah Islam yang agung.

     Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi dengan kalian semua serba sedikit daripada pembacaan saya. Ilmu perbankan adalah antara salah satu daripada cabang ilmu Islam. Ilmu Islam terbahagi kepada tiga secara umumnya, akidah, syariah dan akhlak. Dan di bawah syariah, terdapat ilmu yang berkaitan dengan ; ibadat, jinayat, munakahat (berkaitan pernikahan dan kekeluargaan) dan muamalat (ada fuqaha yang menggabungkan munakahat dan muamalat).

     Maka skop kita di Malaysia, kita boleh bandingkan antara dua perbankan ini, iaitu :
  1. Perbankan Konvensional
  2. Perbankan Islam
Jadi, apakah bezanya? apakah perkara yang membezakan bank islam dan bank konvensional? Mari kita lihat dari satu sudut yang amat jelas perbezaannya iaitu RIBA. Apa pula itu RIBA? Riba dari sudut bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Dari sudut istilahnya ialah menurut kajian Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di dalam bukunya "Wang anda & Islam : Halal dan haram dalam kewangan dan  perbankan" :
الزيادة في اشياء خاصة والزيادة على الدين مقابل الاجل مطلقا

Ertinya : "Sebarang penambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh"

Riba adalah antara amalan yang dijalankan di dalam perbankan konvensional. Itulah yang membezakan ia dengan bank Islam. Sumber pendapatan bank konvensional adalah melalui amalan RIBA atau faedah atau interest. Dan bank Islam telah menolak konsep riba daripada diamalkan di dalam sistem perbankan Islam. Dan sesusungguhnya Allah telah mengharamkan riba melaui firmannya :
 واحل الله البيع وحرم الربا

Maksudnya : "...dan Allah telah menghalalkan jual beli dan telah mengharamkan riba..." (surah al-Baqarah : 275)

Namun, sangat dukacita kerana ramai di antara kita yang masih memandang remeh tentang RIBA. Banyak agama lain turut mengharamkan riba kerana ketidakadilan dan menindas penggunanya. Moga kita sama-sama menjauhkan diri daripada amalan keji ini. Di bawah ini, saya tujukan beberapa perbezaan bank konvensional dan bank islam secara ringkas. Moga membantu.



PERBEZAAN ANTARA BANK KONVENSIONAL DAN BANK ISLAM 


Perbankan Konvensional
Perbankan Islam
Fungsi dan operasinya didasari oleh prinsip yang dicipta oleh akal manusia “man-made principles”.

Fungsi dan operasinya dipastikan sebaik mungkin untuk mengikut prinsip Al-Quran dan As-Sunnah.
Mengamalkan sistem pemberian pinjaman wang kepada pelanggan dengan dikenakan faedah (interest) yang berganda.

Mengamalkan transaksi jual beli atau sewa asset, bukan akad pinjaman wang.
Dalam produk pelaburannya, pelabur dijanjikan dengan kadar faedah tetap.
Dalam produk pelaburannya, pelabur dan bank Islam akan berkongsi untung rugi, tiada kadar keuntungan yang tetap.

Mensasarkan keuntungan tanpa sebarang had batasan agama dan moral.
Mensasarkan keuntungan berdasarkan prinsip Islam dan menjaga manfaat masayarakat sejagat.

Mengenakan tambahan wang penalti ke atas pinjaman jika lambat bayar.

Mengenakan wang compensation ke atas kelewatan tapi wang itu tidak dimasukkan ke dalam pendapatan bank, sebaliknya disalurkan terus kepada kebajikan.

Memperoleh pendapatan melalui kadar tetap faedah (fixed interest) yang dikenakan kepada pelanggan. Jelas bahawa ia adalah RIBA.

Memperoleh pendapatan melalui konsep kongsi untung dan rugi bersama pelanggan.
Tidak melibatkan pembayaran zakat.
Melibatkan dan menyediakan proses pembayaran zakat.

Hubungan bank dan pelanggan adalah pemberi pinjam dan peminjam.

Hubungan bank dan pelanggan adalah penjual, pembeli atau rakan kongsi.











































Ditulis oleh Ameer Hanif bin Azman a.k.a inche al-pajami
"Permudahkan jangan persusahkan"

Saturday 31 January 2015

Kegiatan Ekonomi dalam Masyarakat

Kegiatan Ekonomi dalam Masyarakat

Kemestian manusia bermasyarakat untuk hidup berEkonomi telah tertakdir sebagai satu rutin yang tidak boleh lari dan dielakkan oleh masyarakat tidak kira masyarakat itu berskala kecil atau besar, ‘simple’ atau ‘complex’. Melalui pendefinisian ekonomi yang menentukan “What gets produced?” kemudian “How it is produced?” dan yang terakhir “Who gets what is produced?”, maka amat jelas lah bahawa manusia memerlukan satu proses yang mampu untuk bertindak mentransformasi sesuatu sumber (resources) kepada sesuatu perkara yang berguna dan bermanfaat buat manusia.


               Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan, yang menjadi perkara asasi untuk manusia meneruskan kelangsungan kehidupan mereka. Maka penghasilan, distribusi dan penggunaan makanan itu lah yang menjadi asas kepada konsep kegiatan ekonomi dalam bermasyarakat. Dan dalam memastikan kelancaran konsep ini berjalan dengan baik, manusia memerlukan sistem untuk mengatur kegiatan ekonominya sehingga mampu memberi kesejahteraan kepada seluruh masyarakat. Dengan wujudnya sistem juga, ia mampu melicinkan kegiatan ekonomi untuk mencapai empat objektif utamanya iaitu ‘efficiency’, ‘equity’ (fairness), ‘growth’ dan ‘stability’.









********************



Sistem dalam Masyarakat



Setiap masyarakat, bangsa, dan negara mempunyai nilai budaya dan latar belakang masing-masing yang berbeza antara satu dan yang lain. Begitu juga dengan ekonomi, dalam mengatur kegiatannya, ia mempunyai sistem yang berbeza-beza walaupun ada sesetengahnya mengamalkan sistem yang sama bersesuaian dengan ‘circumstances’ di mana sistem itu dilaksanakan.

                Dalam keluasan ekonomi, terdapat pelbagai sistem yang merupakan manifestasi dari kemampuan dalam menginterpretasikan perbezaan sistem untuk diamalkan dalam sesebuah budaya dan negeri mahupun negara.

                Secara kasarnya, sistem ekonomi boleh dikategorikan kepada sistem ekonomi Islam dan juga sistem ekonomi kenvensional. Ia boleh dipecahkan kepada dua, Sosialis dan Kapitalis (akan diterangkan lebih lanjut kemudian). Adapun juga, wujud sistem yang bersifat campuran di mana isi-isinya dicedok daripada kedua-dua sistem tersebut (sosialis dan kapitalis).

                Menurut Prof. Madya Dato’ Dr. Hailani Muji Tahir, sistem ekonomi Islam ini adalah satu bentuk pengkajian memahami kelakuan manusia dari sudut penggunaan dan pengurusan sumber-sumber asli untuk dihasilkan bagi memberi manfaat kepada manusia dalam mencapai redha Allah S.W.T. Sistem ekonomi Islam juga mempunyai sumber (epistimologi) mutlak atau khusus sebagai rujukan utama iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah. Sistem ini juga dibangunkan dengan nilai-nilai agung Islam berpaksikan prinsip tauhid dan semangat menegakkan keadilan yang mampu menjamin keselarasan pertumbuhan ekonomi dan syariat.

                Manakala sistem ekonomi konvensional pula bermaksud secara literalnya adalah perkara yang sudah diterima, dipraktikkan dan diguna pakai oleh masyarakat. Jadi, secara konsepnya adalah sebuah sistem yang sudah dilaksana dan diamalkan secara meluas oleh masyarakat yang konsepnya bersifat dinamis dan mampu diubah-ubah demi kepentingan dan kebutuhan masyarakat.





********************


Sosialis , Kapitalis dan Islamik

Sosialis



Kemunculan sistem ekonomi sosialis ini adalah sebagai satu penentangan kepada sistem ekonomi kapitalis yang didakwa tidak mampu memberi kemewahan secara sama-rata. Sistem ini adalah suatu bentuk kegiatan ekonomi yang direncana , dikawal dan dipantau kuasa pemerintahan secara terpusat. Pemerintah akan memasuki campur untuk menentukan tata kehidupan dan kegiatan ekonomi Negara yang berbentuk asasi seperti air, elektrik, komunikasi dan sebagainya.


               Sistem ini menggambarkan bahawa kemewahan individu hanya boleh dicapai apabila kemewahan itu dibahagikan bersama. Jadi , segala bentuk pemilikan individu ke atas aset-aset ekonomi atau ‘factor of production’ seperti tanah, ‘capital’ dan sebagainya adalah pemilikan sosial (bersama).



Prinsip Dasar Ekonomi Sosialis:
  •  Pemilikan harta oleh Negara.
  •  ‘Economic Equality’
  •  Regimentasi

Ciri-ciri Dasar Ekonomi Sosialis:

  •  Menyanjung tinggi Kolektivisme (kebersamaan).
  •  ‘Central power extremely’
  • Tidak mengiktiraf pemilikan individu.



Kelebihan:

  • Penyediaan barang dan khidmat (good and services) untuk manfaat masyarakat.
  • Tidak berorientasikan keuntungan.
  • Kadar Pengangguran yang rendah.
  •  Jurang kekayaan yang kecil.

Kekurangan:
  • Kelembapan Inovatif
  • Kebebasan memilih yang sangat terhad.
  • Tidak effisien.
  • Korupsi , ketirisan dan pembaziran yang tinggi.


Negara yang mengamalkan:

  • Korea Utara
  • Russia
  • Cuba

********************


Kapitalis:


Kalau sistem ekonomi sosialis yang tidak mengiktiraf pemilikan individu , lain pula halnya dengan sistem ekonomi Kapitalis yang sangat memberi kebebasan mutlak kepada individu untuk memiliki kemewahan peribadi dan keuntungan maksimum. Sistem Kapitalis ini berasal daripada perkataan bahasa Perancis , ‘Laissez-Faire Economy’ yang membawa maksud “Allow (them) to do)”. Makna asal ini memberi impak besar kepada menamakan sistem ekonomi yang satu ini. Ia juga boleh disebut sebagai Liberal Ekonomi.


                Antara idea utama sistem kapitalis ini juga adalah disebut ‘consumer sovereignty’ yang membawa maksud pengguna atau pembeli diberi kuasa untuk menentukan barangan atau produk apa yang diinginkan di dalam pasaran berdasarkan ‘kuasa belian’ yang terletak di tangan pengguna/pembeli. Di sini boleh dilihat bahawa rakyat lah yang mencorakkan kegiatan ekonomi melihat kepada ‘demand’ dan kemahuan pengguna(rakyat) itu sendiri.

                Sistem Kapitalis juga memberi kebebasan kepada individu untuk merencana dan mengurus nasibnya sendiri sesuai dengan kemampuannya. Semua orang boleh bersaing untuk memenangkan kompetisi bebas melalui cara sendiri demi keuntungan yang maksimum.


Prinsip Dasar Ekonomi Kapitalis:
  • ·         Kepercayaan kepada kebebasan berekonomi.
  • ·         Mengiktiraf pemilikan individu.
  • ·         Individu bebas memilih.
  • ·         Keuntungan Maksimum.


Ciri-ciri Dasar Ekonomi Kapitalis:
  • ·         Persaingan Bebas.
  • ·         ‘Consumer Sovereignty’
  • ·         Semangat Individualisme yang tinggi
  • ·         Semangat Materialisme.
  • ·         Ditentukan oleh ‘Market Mechanism’.


Kelebihan:
  • ·         Kemajuan Inovatif.
  • ·         Kebebasan memilih.
  • ·         Pasaran yang luas.
  • ·         Effisien yang Optimum
  • ·         Kerancakan Perniagaan



Kekurangan:

  • ·         Jurang orang kaya dan miskin besar.
  • ·         Fenomena Monopoli
  • ·         Kaya terus Kaya , Miskin terus Miskin.
  • ·         ‘Immobilities’
  • ·         Kadar Pengangguran yang tinggi.


Negara yang mengamalkan:
  • ·         Amerika Syarikat
  • ·         Jerman
  • ·         India

 *******************

Islamik:


Ekonomi Islam merupakan satu pengkajian sejarah, empirik dan teori yang akan menganalisis keperluan individu dan masyarakat berpandukan sistem nilai-nilai Islam. Ia juga satu pengkajian ke atas pencapaian ‘al-falah’ manusia melalui penguasaan sumber bumi di atas kerjasama dan penyertaan manusia (Surtahaman, 1990).


               Manakala dari sudut Umar Chapra , ekonomi Islam adalah sebuah pengetahuan yang membantu  merealisasikan kebahagiaan manusia melalui alokasi dan distribusi sumber (resources) yang terbatas berdasarkan kerangka ajaran agama Islam.


    Sistem ekonomi Islam punya keterbezaannya sendiri kerana aturan ekonomi Islam tidak lah se-ekstrim sistem sosialis yang menyeru kepada penghapusan pemilikan individu. Ekonomi Islam juga tidak lah memberi kebebasan total supaya aliran sumber-sumber (resources) ditentukan oleh ‘market mechanism’ secara mutlak.


                Ekonomi Islam juga menolak sebarang bentuk akumulasi (perkumpulan) harta dalam kalangan golongan tertentu sahaja. Sebab itu adanya sistem zakat yang mengalirkan ‘surplus property’ untuk diagihkan kepada golongan-golongan memerlukan seperti orang miskin, orang yang berjihad dan sebagainya.

                Yang terpentingnya, ekonomi Islam ini bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan terhadap sesuatu pihak apabila melakukan satu-satu kegiatan ekonomi. Dan pastinya prinsip tauhid dan semangat menegakkan keadilan mampu memberi rahmat kepada seluruh alam.

Prinsip Dasar Ekonomi Islam:


  • ·         Mengiktiraf pemilikan individu dan pemilikan umum.
  • ·         Keadilan sosial dan berkebajikan.
  • ·         Kebebasan Individu dengan batasan syariat.
  • ·         Bebas dari Riba’ , Maisir (Judi) dan Gharar(Ketidakpastian).
  • ·         Untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat.


Ciri-ciri Dasar Ekonomi Islam:

  • ·         Aqidah sebagai asas utama dalam melakukan kegiatan ekonomi.
  • ·         Syariah sebagai batasan untuk menformulasi keputusan kegiatan ekonomi.
  • ·         Akhlak sebagai parameter dalam proses mengoptimumkan aliran ekonomi.


Kelebihan:

  • ·         Keadilan sejagat.
  • ·         Optimumkan produktiviti.
  • ·         Tiada kezaliman dan penindasan.
  • ·         Menyeimbangkan pasaran.


              Semua maklum, bahawa bidang ilmu ekonomi Islam ini masih lagi baru dan dalam proses pembentukan satu sistem lebih kompleks melalui penghasilan produk-produk mengikut perspektif Islam. Hakikatnya, Islam  menyediakan sebuah batu asas untuk dijadikan satu prinsip dalam menformulasi dan mengoptimumkan perjalanan dan pertumbuhan ekonomi yang bebas dari penindasan dan kezaliman serta adil buat semua. Maka, pengkajian secara berterusan amatlah diperlukan dalam usaha mengembangkan lagi pengaruh dan kuasa sistem ekonomi Islam.

*******************

Rumusan



Dalam kita menilai sesebuah sistem, tidak kira sistem ekonomi, pendidikan atau apa-apa jenis sistem, perlu lah kita untuk mengetahui bahawa sistem adalah satu mekanisme yang ingin membantu melancarkan perjalanan dalam mencapai objektif-obejktif yang dihajatkan. Kadang-kadang, sesuatu objektif itu adalah satu niat yang suci tetapi apabila usaha untuk mencapai objektifnya itu kotor dan salah, maka objektif yang suci itu juga turut terpalit dengan salah.

               Kita juga perlu memahami hakikat manusia terbentuk pemikirannya, tingkah laku dan diri mereka sendiri adalah hasil acuan sesebuah sistem. Sekiranya sesuatu sistem itu berpaksikan pada perkara salah dan rosak, maka tidak mustahil orang di dalam sistem itu akan terikut sekali rosak dan bermasalah. Secara amnya, kebergantungan manusia pada sistem adalah satu perkara yang tak dapat dielakkan dan menjadi kewajipan untuk kita berusaha untuk membina bukan sahaja objektif-objektifnya yang suci bahkan pelaksanaan sistemnya juga suci dan bebas dari unsur negatif supaya segala amalan kerja kita nanti, boleh dikira sebagai amalan pahala bukan dosa.


Abu Maryam | Moga Bermanfaat Selamanya (writer)
Inche al-Pajami | Permudahkan Jangan Persusahkan (editor)




Monday 22 December 2014

PRINSIP ASAS : Musyarakah

Assalamualaikum para pembaca yang dikasihi sekalian. Moga-moga semuanya sihat dan baik-baik sahaja di tempat masing-masing. Kami di bumi Jordan ini.. telah mula memasuki musim Syitaa iaitu musim sejuk pertama kami di sini. Alhamdulillah setakat ni masih mampu bertahan dengan segala jenis dugaan yang mendatang.

Baiklaahh..


Pada artikel yang sebelum ini, kita telah mengupas dengan mendalam mengenai kontrak mudharabah. Yang mana kita semua jelas bahawa Mudharabah bukanlah satu-satunya kontrak partisipasi atau (al-istihrak) yang telah diamalkan dalam dunia perbankan dan kewangan Islam, malah terdapat juga kontrak lain yang turut diamalkan, antaranya kontrak Musyarakah.

Pada post kali ini Insya Allah kami akan menghuraikan sedikit sebanyak mengenai kontrak Musyarakah dan akan mengaitkan dengan produk yang ditawarkan oleh  bank-bank Islam di Malaysia pada masa kini.

Apa itu Musyarakah ?

Maksud  ‘syarikah’ mengikut penggunaan umum bahasa Arab membawa erti menggabungkan dua perkongsian sebagai satu cara untuk membuatkan keduanya tidak boleh dibezakan. [1]

Namun pembaca sekalian, walaupun begitu definisi syarikah menurut bahasa,  

Jumhur ulama  tidak pun mensyaratkan ‘percampuran’ sebagai satu elemen yang membentuk definisi ‘syarikah’, sebaliknya memberi tumpuan tentang konsep kontrak yang mendasari sesuatu entiti perniagaan itu (Gulf Legal Services, 200 1 ). 

Maka secara istilahnya, definisi musyarakah telah diambil dari definisi Imam Hanafi  

‘suatu kontrak antara dua orang yang berkongsi modal dan untung.’ [2]

Mengapa definisi Imam Hanafi terpilih?


kerana definisi yang dikemukakan oleh Imam Hanafi kelihatan lebih menyeluruh. ia mengungkapkan syarikat sebagai suatu kontrak, maka dengan sendirinya ia mewujudkan konsep hak dan tanggungjawab yang mengikat. sedangkan definisi yang lain lebih menjurus kepada tujuan atau kesan kontrak itu sendiri. [3]


Musyarakah di Sisi Islam

Menurut para ulama Fiqh, hukum musyarakah adalah harus. Penthabitan hukum harus ini adalah berdasarkan kepada dalil AI-Quran, Sunnah dan Ijma’. Di dalam AI Quran, konsep ‘perkongsian’ dinyatakan dalam bentuk perkongsian  dalam pembahagian harta perwarisan.

Firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 12 yang membawa erti “

“…Maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dari perempuan)…”

Manakala di dalam surah Sad ayat 24, Allah menerangkan tentang bagaimana rakan kongsi memperlakukan rakan-rakan kongsi yang lain, iaitu firman Allah,

 ‘‘ ... Sesungguhnya kebanyakan orang yang bergaul dan berhubungan (dalam pelbagai Iapangan hidup), sesetengahnya berlaku zalim kepada sesetengah yang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal salih .. . ”

Di samping nas Al-Quran, terdapat sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, beliau mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan yang Allah s.w.t berfirman,


‘’ Aku (Allah) adalah orang ketiga bersama-sama dengan rakan kongsi, selama masing-masing tidak mengkhianati yang lain maka Aku meninggalkan mereka berdua. ”

Berdasarkan hadis ini, jelaslah Allah s.w.t telah berjanji bersama-sama menjaga dan memelihara pihak-pihak yang berkongsi itu selama mereka saling jujur dan amanah di dalam perkongsian mereka.

Berdasarkan nas-nas ini, maka ijma’ ulama sepakat mengharuskan kontrak syarikat memandangkan Allah sendiri telah berjanji untuk bersama-sama rakan kongsi yang jujur dan amanah serta berlandaskan hukum-hukum syariah dalam perniagaannya.

Apakah pula Jenis-jenis Musyarakah[4] ?

Kontrak Musyarakah merupakan satu kontrak yang sangat fleksibel untuk pelbagai jenis perkongsian. Kontrak musyarakah terbahagi kepada dua jenis dan terdapat beberapa pecahan kecil . Mungkin timbul persoalan di benak fikiran anda... kontrak jenis apakah yang syarikat/perniagaan anda sedang/akan jalankan?

Maka, penulisan kami akan diteruskan dengan  menunjukkan secara kasar jenis musyarakah, pecahannya dan definisinya.


a)Shirkah Al-Milk (Pemilikan Bersama)

Menurut pengertian umum,syarikat Amlak ialah dua orang atau lebih yang bersekutu atau berkongsi dalam sesuatu urusan tanpa lafaz akad syarikat. Syarikat jenis ini terbentuk disebabkan proses undang-undang atau syarak dan akhirnya secara tidak langsung wujudnya syarikat Amlak.


b)Shirkah Al-'Aqd (perkongsian kontrak)

shirkah Al-'Aqd terbahagi kepada empat pecahan kecil


  1. 'Inan
    
Syarikat Inan ialah syarikat perkongsian dua orang atau lebih yang mana  mereka  mempunyai hak “tasarruf” (hak melakukan transaksi) dalam pengumpulan sejumlah harta dalam cara pembahagian yang dimaklumi atau dalam bentuk saham yang ditentukan. untung dan rugi ditanggung bersama mengikut perjanjian. Secara ringkasnya,masing-masing berhak melakukan apa saja yang dapat memberikan kebaikan kepada syarikat


   2.Wujuh
    
Syarikat Wujuh adalah perkongsian diantara dua orang atau lebih dalam pembelian dan penjualan sesuatu barang menggunakan jawatan mereka. Keuntungan dan kerugian yang dialami adalah dibahagikan secara sama rata.Dalam keadaan biasa,syarikat ini terbentuk diantara orang biasa dan orang terkemuka,yang mana barang yang mereka jadikan modal perniagaan itu dibeli oleh orang terkemuka tersebut dengan cara hutang dan dengan menggunakan kedudukannya atau kepercayaan.


   3.’Abdan
    
Iaitu dua orang atau lebih yang bersepakat atau berkongsi untuk menjalankan sesuatu perusahaan dan perniagaan dengan menggunakan tenaga dan kepakaran masing-masing dan hasil keuntungan yang diperolehi dibahagikan diantara mereka.


   4. Mufawadoh  

     dua orang atau lebih berkongsi dalam sesuatu urusan dan sama banyak modal antara mereka, sama-sama berhak tasarruf dan juga antara mereka saling jamin-menjamin. ia juga hanya boleh dilaksanakan bilamana  syarat modal, pengurusan dan agama mereka adalah sama dan masing-masing saling bertanggungjawab. Keuntungan yang diperolehi adalah dibahagikan mengikut persetujuan bersama.





Apakah Produk-produk Musyarakah yang telah dihasilkan?

Kontrak musyarakah telah diaplikasi dalam pelbagai jenis produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam. Antaranya:

1.Pembiayaan rumah dan asset secara Musyarakah Mutanaqisah
2.Penerbitan bon Islam (sukuk)
3.Pembiayaan modal kerja (working capital financing)
4.Pembiayaan projek (project financing)

Yang Paling popular - Musyarakah Mutanaqisah

 Dalam penulisan ini kami hanya akan mengupas mengenai konsep musyarakah mutanaqisah oleh kerana konsep ini agak mudah untuk difahami dan kebanyakan institusi kewangan Islam telah mengaplikasikan konsep ini dalam menawarkan produk pembiayaan yang berlandaskan syariat Islam. Kebanyakan masyarakat di luar sana kurang jelas dengan konsep musyarakah mutanaqisah sehingga mereka mendakwa produk yang ditawarkan oleh bank Islam tiada beza dengan bank konvesional atau dengan lebih jelasnya tidak berlandaskan syariat Islam itu sendiri.



Mari kita sama sama melihat carta alir di bawah untuk memudahkan kita memahami Musyarakah Mutanaqisah






  1. Pelanggan membeli aset contohnya rumah yang bernilai 1 juta dan membayar duit muka sebanyak 10 ribu (10%) kepada pemaju
  2. Pelanggan memohon pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah daripada pihak bank lalu satu kontrak ditandatangani antara pihak bank dan pelanggan.
  3. Hasil daripada kontrak yang telah ditandatangani,bank akan membayar baki 90 ribu (90%) terus kepada pemaju. Dalam konsep ini bank tidak membeli asset tersebut sebaliknya hanya menyuntik duit kepada pelanggan.
  4. Bank yang mempunyai 90% milikan daripada aset dan pelanggan 10% milikan daripada aset memeterai kontrak sewaan di mana pelanggan menyewa aset dan membayar secara bulanan sepanjang tempoh yang telah dipersetujui kepada pihak bank
  5. Sepanjang tempoh yang telah dipersetujui,peratus milikan bank terhadap asset akan menurun dari semasa ke semasa manakala peratus milikan pelanggan akan meningkat dari semasa ke semasa.Sampai tempoh tamat perjanjian,pelaggan akan mendapat milikan penuh 100% terhadap aset tersebut.

Kesimpulannya, kesemua hukum yang diamalkan dalam perbankan islam yang sebenar adalah untuk memberi kemudahan kepada masyarakat Islam dalam menjalankan kegiatan seharian dengan lebih mudah sekaligus dengan mematuhi syariat Islam yang sebenar.


Moga perkongsian kami ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada anda. dan jangan lupa mendoakan agar kami terus kuat untuk menimba ilmu di bumi anbiyaa ini, dan pulang untuk memberikan khidmat kepada masyarakat, seterusnya menyumbang dalam memajukan lagi negara Malaysia sebagai hub kewangan dan perbankan Islam yang utama.


[1] Ala’Eddin Kharofa, 1 997.
[2] Wahbah Zuhaili, 2000
[3] http://repo.uum.edu.my/386/1/Ahmad_Shamsul_Dato%27_Abd_Aziz.pdf
[4]Panduan Perbankan Islam,Dr. Zaharuddin Abd. Rahman,ms 98.
[5] Fiqh Muamalat dalam Sistem Kewangan Islam,ms 202.